YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) bersama penerima RRP, Encik Mat Mingan Saparun, 73, (dua dari kanan) di Kampung Cenderawasih

PAHANG TIADA HALANGAN TERUS LAKSANA RUMAH RAKYAT PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 26 NOVEMBER 2021 : Kenaikan harga bahan binaan tidak menghalang Kerajaan Pahang untuk meneruskan Projek Rumah Rakyat Pahang bagi membela nasib rakyat tidak berkemampuan untuk memiliki rumah.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cabaran sudah pasti ada namun ia dapat diatasi dengan baik malah ada perancangan untuk menambah jumlah penerima rumah berkenaan pada tahun hadapan.

“Setelah kita mendengar pelbagai pandangan, pendapat dan melihat keadaan semasa, kita dapati rumah yang kerajaan negeri bantu dan berikan kepada mereka yang layak ini (tidak lagi) bernilai RM65,000.

“Kita telah buat kajian yang terperinci dan mendapati harga Rumah Rakyat Pahang (RRP) perlu dinaikkan daripada RM65,000 kepada RM75,000 selepas harga barang naik seperti besi, simen, batu bata dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada penerima, Encik Mat Mingan Saparun, 73, di Kampung Cenderawasih di sini hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, bantuan yang diberikan bukan hanya rumah semata-mata tapi rasa selesa dan gembira perlu turut ada bersama.

“Selain daripada membantu mereka yang tidak ada rumah, kita juga hendak mereka ini duduk dalam keadaan yang selesa.

“Saya tengok rumah (masih pada harga) RM65, 000 mungkin sempit dan sebagainya…Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang agak baik, jadi kita tambah lagi menjadikan kos rumah ini sebanyak RM75,000 bermula tahun depan.

“Janji kerajaan negeri, apa yang kita dapat kita serahkan kembali kepada rakyat. Itu janji kita yang akan sentiasa kita tepati,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download