YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar, di Bera.

873 PEDI AKAN DINAIKTARAF SEBAGAI PUSAT SEHENTI AKTIVITI EKONOMI LUAR BANDAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BERA, 21 NOVEMBER 2021 : Sebanyak 873 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) akan dinaiktaraf sebagai pusat sehenti bagi aktiviti ekonomi digital luar bandar.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut 37 PEDi akan dibuka pada suku pertama 2022.

“Setiap PEDi dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti setempat.

“Selain itu, sebanyak 37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama tahun 2022, sementara sebanyak 173 PEDi lagi akan beroperasi menjelang penghujung tahun hadapan. Ini menjadikan sebanyak 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara,” katanya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar, di sini.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB. Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), YBrs Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Barisan Exco Kerajaan Pahang.

Menurut beliau, fokus utama PEDi ialah melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing di mana sektor perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah tonggak kepada ekonomi negara.

“Pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS merangkumi hampir 1.2 juta, atau 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan.

“Sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasakan setelah terjejas akibat pandemik COVID- 19. Kerajaan menyediakan galakan untuk memodenkan perniagaan dengan menerima guna teknologi termaju dan pendigitalan, dan seterusnya membuka peluang kepada usahawan PMKS untuk menerokai pasaran dunia.

“PEDi menjadi sebuah pusat sehenti untuk mendekatkan usahawan kecil agar mesra terhadap ekonomi digital. Pelbagai program disediakan untuk membantu usahawan kecil memulakan perniagaan atau meningkatkan permintaan terhadap produk mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan terus memberi sokongan kewangan kepada PKMS melalui Bajet Kewangan 2022 sebanyak RM40 bilion

“Selain itu, melalui Bajet 2022, Kerajaan terus memberikan sokongan kewangan kepada PMKS sebanyak RM40 bilion untuk geran, jaminan dan ekuiti dan sebahagian besarnya disediakan untuk PMKS.

“Ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan RMK-12 di mana PMKS dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025,” katanya.

Menurut beliau lagi, usaha ini dapat merapatkan jurang digital serta mencetuskan inovasi digital bagi membangunkan agenda ekonomi digital.

“Ini adalah aspirasi negara untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang didorong oleh digital dan pemimpin serantau dalam ekonomi digital.

“Selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Rakyat Pahang boleh mengemukakan sebarang cadangan dan pandangan mengenai belanjawan ini di laman portal https://esurvey.pahang.gov.my/print_esurvey.php?soal_id=254 agar Kerajaan Negeri dan rakyat dapat seiring dalam membangunkan negeri ini secara bersama.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download