Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
CAMERON HIGHLANDS, 20 NOVEMBER 2021 : Kira-kira 1.6 juta hektar kawasan hutan di negeri ini dijadikan Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu 57 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan yang ada setakat ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini merupakan tambahan sebanyak 7,641.44 hektar bagi tahun ini.
“Luas keseluruhan kawasan Hutan Simpanan Kekal di Pahang sehingga kini ialah kira-kira 1.6 juta hektar, atau lebih tepat 1,597,967.44 hektar, atau iaitu masih kekal 57 peratus daripada keseluruhan kawasan berhutan di negeri ini.
“Luas kawasan Hutan Simpanan Kekal terbaru ini merupakan tambahan kepada HSK sedia ada, dan inisiatif ini sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Mossy Forest @ PahangGo dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ops Pamah di Hotel Zentih di sini.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad; Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semananjung Malaysia, YH. Dato’ Mohd Ridza Awang; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri; dan Barisan Exco Kerajaan Pahang.
Menurut beliau lagi, sejak beliau menjadi Menteri Besar pada 2018, sebanyak 696.2 hektar telah diwartakan sebagai kawasan hutan simpan.
“Sejak saya menjadi Menteri Besar pada 15 Mei 2018, Kerajaan Negeri telah mewartakan 16,020 hektar Hutan Simpanan Kekal meliputi 696.2 hektar pada tahun 2018; 6,469.33 hektar tahun 2019; 1,213.03 hektar tahun 2020 dan 7,641.44 hektar pada tahun 2021 ini.
“Selain itu, juga ada penambahan keluasan kawasan Hutan Tadahan Air dan setakat September 2021, kira-kira 343,503.35 hektar yang bersamaan 10 peratus daripada keluasan tanah negeri iaitu 3.6 juta hektar atau 21 peratus keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal.
“Untuk menjaga alam sekitar dan lembangan sungai, khususnya di Cameron Highlands, Kerajaan Negeri juga telah mewartakan 7.085 hektar atau 17.507 ekar di Kampung Raja, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands sebagai Hutan Simpan Sungai Ikan,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga akan mewartakan empat lagi kawasan di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands seluas 337.625 hektar sebagai hutan simpan.
“Empat kawasan berkenaan ialah Hutan Simpan Sungai Terla seluas 43.715 Hektar, Hutan Simpan Sungai Telom (90.513 hektar), Hutan Simpan Sungai Lemoi (50.165 hektar), dan Hutan Simpan Sungai Bertam (153.232 hektar).
“Maka, keluasan keseluruhan cadangan pewartaan hutan simpan baharu di Cameron Highlands ialah 344.71 hektar dan ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan demi terus memelihara alam sekitar di kawasan tanah tinggi ini serta Pahang amnya,” katanya. -PAHANGMEDIA