Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 19 NOVEMBER 2021: Seramai 241 mangsa banjir di Dewan Negeri (DN) Jelai menerima sumbangan Bantuan Wang Ihsan Banjir dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM120,500.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan banjir ini adalah sumbangan yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) kepada mangsa.

“Sebanyak 241 orang terima bantuan banjir (DN Jelai) hari ini dengan nilai RM500 seorang, dan kita harapkan bantuan ini dapat meringankan beban yang dialami semua mangsa.
“Kita harapkan tahun depan semua ini (mangsa) tak kena banjir dah. Tapi kalau kena lagi (banjir), Kerajaan Negeri telah setuju untuk naikkan bantuan daripada RM500 kepada RM1,000 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Penyerahan Bantuan Banjir dan Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Dewan Negeri (DN) Jelai di Laman Sejahtera Sungai Koyan hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long; ADN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Beliau dalam majlis yang sama turut menyampaikan pelbagai bantuan kepada 26 penerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM108,000.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan replika kunci rumah kepada 12 penerima RRP di daerah ini iaitu empat buah di DN Jelai, dua buah di DN Cheka, DN Benta, dan DN Padang Tengku, serta sebuah di Parlimen Lipis dan Parlimen Cameron Highlands selain sebuah rumah sumbangan TNB di DN Jelai.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang akan memperuntukkan tambahan enam buah rumah di setiap Dewan Negeri dengan anggaran kasar kira-kira RM11 juta pada tahun hadapan.
“Tambahan rumah RRP ini akan dibawa untuk perbincangan di Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan ia juga bergantung kepada implikasi kewangan negeri pada tahun hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA