Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali
PEKAN, 17 NOVEMBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli pada Majlis Penyerahan Kerja Program Baik Pulih dan Bina Rumah Baru di atas Tanah Kesultanan di Daerah Pekan.
Pada kunjungan itu, Seri Paduka Baginda telah menyerahkan tiga projek membina rumah baru manakala dua projek membaik pulih rumah asnaf.

Menurut Pengarah Platinum Victory, Tuan Shaik Ahmad Sufian Shaik Kamal Farid, sejumlah RM2 juta telah diperuntukkan bagi memperbaiki dan membina baru bagi 38 rumah di daerah Pekan.
“Daripada kesemua 38 rumah terpilih, sembilan daripadanya ada membina rumah baru. Rumah tersebut sememangnya uzur dan perlu dibina baru,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kerja Program Baik Pulih dan Bina Rumah Baru di atas Tanah Kesultanan di daerah Pekan.
Seorang warga emas, Encik Mustafa Kassim, 79, berkata, beliau sangat terharu dan bersyukur sehingga menitiskan air mata di atas kurnia membaiki rumahnya yang sudah uzur dan mengalami banyak kerosakan.

“Terima kasih banyaklah, harapan saya dapatlah duduk dengan keadaan yang selesa tidaklah sampai tinggal di bawah jambatan, tiada rumah tangga, jadi dengan keprihatinan KDYMM Yang di-Pertuan Agong ini, saya dapatlah selesa sikit (rumah),” katanya.
Manakala seorang lagi penerima, Encik Syed Mohd Arifin Syed Hussin, 52, berkata, keprihatinan baginda Tuanku dengan mengurniakan sebuah rumah baru buat dirinya bersama lapan sekeluarga amat dihargai.
Dia yang bekerja bersama Alam Flora sebelum ini tinggal di rumag di atas tapak yang sama namun keadaan rumah yang lama dan uzur adalah tidak selamat.
“Saya sangat bersyukur atas kurniaan rumah yang baru ini menggantikan rumah yang lama, jadi memang bersyukur dan menjunjung kasih kepada tuanku,” katanya. – PAHANGMEDIA