BERITA BAS BAWA PESAKIT COVID-19 DI CAMERON HIGHLANDS PROSEDUR BIASA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2021 : Berita berkenaan bas yang membawa pesakit COVID-19 di Cameron Highlands merupakan satu prosedur biasa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan media berkata situasi pemindahan yang berlaku adalah terkawal dan hanya melibatkan prosedur biasa pemindahan pesakit positif ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

“Peristiwa ini berlaku pada 9 November 2021 yang lalu, di mana hanya sembilan pesakit positif COVID-19 dibawa menggunakan bas pada tarikh tersebut merangkumi dua kes ke PKRC Maran, dua kes ke PKRC UMP dan lima kes ke PKRC ILKKM.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus.

“Kesemua sembilan orang pesakit ini perlu dimasukkan ke PKRC kerana situasi rumah yang kurang sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri serta pesakit ini terdiri daripada golongan kanak-kanak dan pesakit co-morbid,” katanya.

Menurut beliau, buat masa ini tiada sebarang notifikasi kes positif COVID-19 dalam kalangan pelancong untuk tujuan pengesanan kontak diterima Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands.

“Notifikasi untuk tindakan pengesanan kontak yang diterima setakat ini adalah melibatkan kontak keluarga dan bukannya pelancong.

“Sehingga 16 November 2021, kes aktif di daerah Cameron Highlands adalah sebanyak 77 kes melibatkan 17 kes import dan selebihnya adalah kes tempatan.

“Status COVID-19 di daerah Cameron Highlands adalah terkawal dengan dua mukim berstatus jingga (Tanah Rata dan Ulu Telom) dan satu mukim berstatus kuning (Ringlet),” katanya.

Tambahnya lagi, JKNP juga meminta masyarakat untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun telah lengkap dos vaksinasi serta dibolehkan untuk bersosial seperti melancong dan merentas negeri.

“Kita belum menang lagi namun dengan usaha-usaha dan komitmen yang tinggi, KITA AKAN MENANG dan dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Bersama hidup sihat meskipun dalam COVID-19,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Rakyat Pahang boleh mengemukakan sebarang cadangan dan pandangan mengenai belanjawan ini di laman portal https://esurvey.pahang.gov.my/print_esurvey.php?soal_id=254 agar Kerajaan Negeri dan rakyat dapat seiring dalam membangunkan negeri ini secara bersama.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

Share this: