Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 15 NOVEMBER 2021: Politik berteraskan kestabilan yang dibawa oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam mentadbir Negeri Pahang boleh dijadikan rujukan dan pedoman untuk pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kestabilan politik Negeri Pahang dibawah pimpinan Kerajaan BN diterajui YAB Menteri Besar Pahang itu dilihat berjaya menyatupadukan penduduk pelbagai kaum dan meningkatkan ekonomi negeri tanpa apa-apa gangguan yang ketara.
Katanya, formula bagaimana Kerajaan BN Pahang mampu menjaga kesejahteraan rakyat dan membawa kemakmuran selepas PRU-14 lalu melalui kestabilan politik harus diangkat dan dilaksanakan di Melaka oleh kerajaan baharu selepas PRN ini.
“Saya tidak nampak dan tidak mendengar ada isu-isu besar termasuk isu perkauman di Negeri Pahang, malah pembangkang di Pahang juga saya lihat tidak begitu menekan dan membangkang yang terlalu banyak, ini sesuatu yang menarik dan perlu dikaji bagaimana Negeri Pahang dibawah Kerajaan BN mampu melakukannya.
“Saya juga biasa mengikuti Sidang Dewan Negeri Pahang secara dalam talian, tidak ada jerit menjerit, mencaci, mengutuk dan memarahi sesama ahli politik seperti di beberapa negeri lain, ini amat penting dalam sebuah negara yang majmuk seperti Malaysia, politik kestabilan yang diamalkan di Negeri Pahang ini boleh dijadikan rujukan dan petunjuk dalam PRN Melaka ini,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, YAB Menteri Besar Pahang bersama Ahli Parlimen Pekan meninjau keadaan semasa di PRN Melaka.
Beliau yang kebetulan berada di situ ketika kedua-dua pemimpin utama Pahang ini hadir turut meluangkan masa bertemu mereka dan dilihat berbincang seketika. – PAHANGMEDIA