Oleh : Fairus Mohd
PEKAN, 13 NOVEMBER 2021 : Penduduk Felda Chini 3 yang dikenakan Perintah Kawasan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semalam tidak perlu bimbang kerana pihak kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian sewajarnya.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, , YB Encik Shahrim Md Zain berkata, semua maklum penduduk di kawasan berkenaan sudah pasti tidak boleh keluar untuk mendapatkan bekalan makanan semudah sebelum dikenakan PKPD.
“Kerajaan Pahang sentiasa komited menyalurkan bantuan-bantuan bertepatan dengan keperluan semasa rakyat terutamanya ketika masih hidup dalam situasi dan cabaran COVID-19.
“Saya juga telah mengambil kesempatan meninjau ke pondok SJR (sekatan jalan raya) yang didirikan di jalan masuk utama ke Chini 3 berhampiran Dewan Semai Bakti bagi mendengar taklimat ringkas dan melihat sendiri persiapan dan kesiapsiagaan anggota bertugas,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, penguatkuasaan di samping disiplin penduduk mematuhi peraturan yang ditetapkan bakal membantu mengurangkan kes seterusnya ke angka sifar.
“Alhamdulillah, walaupun penguatkuasaan PKPD baru bermula di Chini 3, saya melihat penguatkuasaan PDRM yang turut dibantu agensi lain seperti tentera, Rela, APM dan PBT berada di tahap terbaik bagi memantau pergerakan penduduk.
“Saya menyeru agar penduduk yang terlibat agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Sama-samalah kita mengekang penularan COVID-19 di kawasan kita,” katanya. – PAHANGMEDIA