Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2021 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah dinobatkan sebagai penerima kepada dua anugerah pada Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Dunia Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan di Dewan Kristal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (PKPT) di Putrajaya.
Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, pengiktirafan ini diberikan atas usaha MBK dalam menamatkan tiga episod wabak denggi di Taman Pandai Damai 2 yang melibatkan 350 unit rumah dengan 1,400 penduduk.
Katanya, anugerah kedua pula diberikan atas usaha MBK meningkatkan tahap kebersihan melibatkan 15 premis makanan di Teluk Cempedak daripada Gred C kepada Gred A.
“Pengiktirafan ini merupakan kejayaan semua pihak termasuk komuniti perniagaan seperti komuniti penjaja, peniaga dan warga Bandaraya Kuantan secara amnya.
“Kecemerlangan bandaraya ini hanya akan dicapai jika semua anggota dan komuniti berganding bahu bersama-sama menjayakan dan memulihara kebersihan serta kestabilan alam sekitar,” kataya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di Kuantan.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Putrajaya.
YH. Dato’ Hamdan berkata, pihaknya menyeru keterlibatan semua pihak sebagai permulaan kepada Bandaraya Kuantan bergerak ke hadapan dalam mencapai pembangunan mampan, lestari dan berdayahuni.
“Bandaraya ini memerlukan komuniti dan masyarakat yang membudayakan mentaliti kelas pertama serta mendidik generasi yang akan mewarisi proses pertumbuhan bandar ini dengan jatidiri yang sentiasa menitikberatkan kebersihan persekitaran bandaraya yang kita sayangi ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam usaha berterusan memutuskan rantaian COVID-19 yang kini sudah beralih ke fasa endemik, pencegahan dan penjagaan persekitaran daripada wabak denggi di kawasan perumahan juga perlu seiring.
Pembudayaan kesemua aspek ini pasti akan menarik lebih ramai pelancong ke Bandaraya Kuantan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan peniaga dan memakmurkan pertumbuhan ekonomi. – PAHANGMEDIA