Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2021 : Bekalan makanan kering bernilai RM44,191 telah dihantar ke pengkalan hadapan daerah Raub bagi persediaan menghadapi bencana tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata kira-kira 3.946 tan bekalan makanan telah dihantar.
“Pelepasan Flag Off Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana Banjir Monsun Timur Laut Peringkat Daerah Raub ini merupakan simbolik kepada siri misi penghantaran keperluan bencana ke pengkalan hadapan di daerah ini.
“Ini merupakan salah satu usaha awal dan tindakan cepat Kerajaan Negeri Pahang untuk persediaan bagi meghadapi banjir,” katanya.
Turut hadir pada program penyerahan di Pejabat Daerah dan Tanah Raub ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB Dato’ Sri Shahiruddin Abd Moin.
Beliau berkata sebanyak dua buah lori digunakan bagi membawa kesemua barangan keperluan bencana ini.
“Dua buah lori turut membawa barang keperluan bencana ini, yang berupa barangan makanan kering seperti beras, biskut, kopi, gula, minyak, sardin dan beberapa barangan kering lain.
“Dan simbolik penyerahan keperluan bencana ini juga kita serahkan kepada Penghulu mukim di Daerah Raub yang mempunyai 10 Pengkalan Hadapan bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2021/2022,” katanya. -PAHANGMEDIA