Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 NOVEMBER 2021 : Sebanyak RM143,000 telah disampaikan kepada 286 ketua isi rumah di Dewan Negeri (DN) Damak yang terjejas akibat bencana.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, bantuan ini merupakan sumbangan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Wang Ihsan ini merupakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) Monsun Timur Laut (MTL) 2020/2021 sebanyak RM500 kepada 286 ketua isi rumah.
“Bantuan ini adalah sumbangan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pahang, dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Jerantut dan APM Daerah Jerantut,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.
Serahan bantuan secara pandu lalu ini turut dihadiri Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Encik Afiq Raduan; Wakil Ahli Parlimen Jerantut, Encik Ahmad Nizam Hassan; Pegawai APM Daerah Jerantut, Kpt (PA) Muszaidi Musa; Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Dato’ Zukarmi Abu Bakar dan Ketua Puteri Umno Bahagian Jerantut, Puan Faezah Ishak. -PAHANGMEDIA