Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Encik Arifin Awang ketika Program Jom Tanam Pokok Sempena Kempen Penanaman 5 Juta Pokok @ RTM Pahang.

LIMA JUTA POKOK DIJANGKA DITANAM MENJELANG HUJUNG TAHUN INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 11 NOVEMBER 2021 : Sebanyak lima juta pokok pelbagai variasi dijangka dapat ditanam sebelum 31 Disember di negeri ini.

Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), YH. Dato’ Samsu Anuar Nawi berkata setakat ini pihaknya telah menanam kira-kira 3.2 juta pokok di seluruh negeri ini.

“Sasaran 100 juta pokok ini adalah bagi tahun 2021 sehingga 2025, iaitu dalam tempoh lima tahun. Di Negeri Pahang sahaja untuk tahun ini lima juta pokok, bagi peringkat Malaysia 20 juta pokok disasarkan. Dan menjelang 2025, insyaAllah kita akan capai 100 juta pokok yang disasarkan dalam tempoh lima tahun.

Program Jom Tanam Pokok Sempena Kempen Penanaman 5 Juta Pokok @ RTM Pahang.

“Kita setakat ini telah berjaya menanam 3.2 juta pokok dan InsyaAllah ini akan kita terus berusaha untuk mencapai target yang disasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Jom Tanam Pokok Sempena Kempen Penanaman 5 Juta Pokok @ RTM Pahang di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Encik Arifin Awang.

Sebanyak 100 pokok pelbagai jenis termasuk pokok buah-buahan telah ditanam di sekitar kawasan RTM Pahang dalam program berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya memberi lebih tumpuan menanam pokok di kawasan hutan simpan yang terosot di negeri ini bagi memulihkan semula kawasan berkenaan.

“Kebanyakan (pokok) ditanam di seluruh kawasan sebenarnya, tapi sekarang ini tumpuan lebih kepada kawasan hutan-hutan simpan yang kita kena pulih, hutan simpan kita yang terosot dan sebagainya jadi itu yang diberi keutamaan.

“Dan kawasan-kawasan lain macam kawasan kerajaan contohnya di Tasik Chini dan kita telah memulakan kerja-kerja proses pemulihan kawasan ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga memperuntukkan kira-kira RM3 juta bagi tujuan penanaman lima juta pokok bagi tahun ini.

“Penanaman pokok ini melibatkan pelbagai jenis, pokok yang kita kategorikan boleh diterima adalah pokok yang berdahan, beranting, berdaun, dan berkayu, serta berakar.

“Jadi kategori-kategori ini kita kira sebagai pokok yang kita tanam. Sebagai contoh kita ada menanam pokok meranti sarang punai, pokok merawan siput jantan, dan hari ini kita tanam pokok kedondong, pokok rambutan, pokok mangga, pokok buah-buahan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Rakyat Pahang boleh mengemukakan sebarang cadangan dan pandangan mengenai belanjawan ini di laman portal https://esurvey.pahang.gov.my/print_esurvey.php?soal_id=254 agar Kerajaan Negeri dan rakyat dapat seiring dalam membangunkan negeri ini secara bersama.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download