Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
JERANTUT, 3 NOVEMBER 2021 : Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diberikan merupakan suatu penghargaan di atas usaha keras yang dilakukan dalam kerjaya yang diamanahkan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia diberikan kepada seseorang pekerja setelah melepasi kriteria tertentu yang ditetapkan.

“Sebagai manusia kita suka diiktiraf atau recognition tetapi dalam usaha mengiktiraf ini berbagai proses dilalui untuk pastikan yang dapat APC ini benar-benar layak, tetapi tidak bermakna yang tak terima APC ini tidak layak cuma ada yang lebih layak daripada kita pada tahun itu.
“Syabas dan tahniah kepada yang berjaya… kepada yang belum berjaya jangan putus asa, mungkin belum sampai masa. Kalau boleh kita teliti dan kaji bagaimana mereka boleh dapat APC, mungkin ada kelebihan yang kita tidak ada… kita kena belajar sehingga akhir hayat kerana itulah saya sendiri pun masih dalam proses pembelajaran. Kita perlu terus belajar dan mencari sesuatu yang positif untuk diri dan organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama penjawat awam Daerah Jerantut dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) PDT Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Pada majlis berkenaan juga, Kerajaan Pahang turut menyampaikan sumbangan RM10,000 sebagai tanda pengiktirafan kepada Majlis Daerah Jerantut atas pencapaian lima bintang yang diperoleh.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, setiap pekerja seharusnya menguasai kemahiran dalam bidang kerja masing-masing sekaligus bersedia apabila dinilai pada bila-bila masa.
“Kita kena tahu bidang masing-masing dengan penuh kepakaran, kalau kita berkemahiran, berpengetahuan, berilmu tinggi dalam bidang kita, bermakna kita adalah seorang yang sangat produktif.
“Keduanya, kita perlu sentiasa ambil tahu mengenai kerja kita, buat kerja tanpa ada agenda lain.. ada fokus terhadap kerja kita, contohnya barisan hadapan (kaunter) boleh jawab soalan (pelanggan) secara terus bukan masih tercari-cari jawapan,” katanya.
Katanya lagi, anugerah yang diberikan adalah suatu usaha kerajaan negeri yang berterusan untuk hargai mereka yang benar-benar mahir dan pada masa sama mereka yang belum mahir perlu terus berusaha untuk memperolehnya pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA