Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama ADN Inderapura, YB Dato' Sri Shafik Fauzan Sharif dan pihak SKMM meninjau keadaan liputan telekomunikasi dan internet di sekitar DN Inderapura.

PEMBANGUNAN BAHARU PERLU SEDIAKAN TAPAK BAGI PEMBINAAN PENCAWANG TELEKOMUNIKASI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 03 NOVEMBER 2021: Kerajaan Pahang telah memutuskan setiap pembangunan baharu di negeri ini perlu menyediakan tapak bagi pencawang telekomunikasi di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, ini kerana perkhidmatan telekomunikasi merupakan utiliti ketiga selepas elektrik dan air.

“Perkhidmatan jalur lebar ini adalah utiliti ketiga selepas api dan juga air dimana setiap pembangunan baharu atau perumahan baru yang akan dibina mestilah ada perancangan untuk membina pencawang telekomunikasi.

“Ini untuk memberikan perkhidmatan liputan internet dikawasan perumahan baharu seperti di Taman Inderapura Jaya ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama pihak SKMM meninjau keadaan liputan telekomunikasi dan internet di sekitar DN Inderapura.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor.

Sementara itu, Encik Mohd Faisal berkata, sebuah infrastruktur telekomunikasi baharu sedang dalam proses pembinaan di kawasan Inderapura dan dijangka dapat beroperasi hujung bulan ini bagi menampung kapasiti penduduk yang bertambah.

“Jadi hari ini kita setuju di Inderapura 2, satu struktur lamp pole akan disediakan dan tiga syarikat perkhidmatan komunikasi boleh menggunakannya. Struktur baharu ini pembinaannya telah pun bermula awal bulan ini dan dijangka siap pada hujung bulan ini,” katanya

Menurut beliau, masalah yang diterima pihaknya adalah berkaitan liputan yang lemah disebabkan kapasiti pengguna yang tinggi.

“Coverage di kawasan ini ada, tapi lemah disebabkan oleh kapasiti penduduk dan menyebabkan liputan lemah dan tidak dapat menampung penggunaan yang mendadak,” katanya.

Sementara itu menurut YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan perkhidmatan internet di kawasan ini sangat diperlukan memandangkan ia menampung kira-kira 4,000 rumah.

“Tambahan dalam masa sekarang yang mana penggunaan internet menjadi satu keperluan penting dalam penggunaan seharian, jadi capaian internet di kawasan ini diharap dapat ditingkatkan secepatnya oleh pihak-pihak telekomunikasi terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download