Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 2 NOVEMBER 2021 : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan keutamaan kepada lokasi-lokasi yang terpencil dan berisiko menghadapi banjir serta berkemungkinan terputus hubungan akibat bencana Monsun Timur Laut di Pahang.
Pengarah JKM Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin berkata, penghantaran makanan telah dimulakan dengan Pulau Tioman pada 29 Oktober kerana lokasi terbabit berisiko terputus hubungan sekiranya dilanda Monsun Timur Laut.
“Kawasan-kawasan yang kita beri keutamaan adalah di Pulau Tioman dan juga kawasan yang agak terpencil di Hulu Tembeling yang mana kawasan-kawasan ini risiko terputus hubungan adalah tinggi sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

“Jadi kawasan-kawasan ini kita hantar bekalan makanan awal dan kuantitinya digandakan supaya tidak timbul isu terpaksa hantar untuk kali kedua, ketiga dan sebagainya, jadi kerana itulah kita memberi keutamaan di kawasan-kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, JKM juga berhadapan dengan tiga cabaran utama bagi menghadapi Monsun Timur Laut iaitu cabaran dalam memastikan bekalan makanan yang mencukupi, bersih dan selamat.
Begitu juga aspek penyediaan pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) yang memenuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan kesemua mangsa banjir dapat mematuhi SOP dalam apa sahaja situasi bencana.
Jelasnya,keperluan bantuan kali ini ditambah kepada sembilan item barangan yang dipastikan berkualiti, selamat dan bersih serta disimpan di 140 pengkalan hadapan yang telah disanitasi dan melalui proses pest control.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta sebagai persediaan bencana bagi tahun 2021 yang telah dimulakan di Rompin pada 29 Oktober dan berakhir di Pekan pada 18 November depan.
Program Flag-Off Pelancaran Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 pula akan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada esok di Jerantut. – PAHANGMEDIA