Puan Nor Linda Arjulinas, 35

MOBILEPRENEUR TERIMA GERAN MOTOR LAHIR PENGHARGAAN KEPADA KERAJAAN PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 02 NOVEMBER 2021 : Seramai 11 mobilepreneur di DN (Dewan Negeri) Kerdau yang menerima geran motor melahirkan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada Kerajaan Pahang.

Puan Nor Linda Arjulinas, 35, yang merupakan peniaga makanan melahirkan rasa gembira dengan pemberian geran motosikal bagi usahawan di DN Kerdau yang disifatkan bantuan yang tepat kepada para peniaga.

“Saya sebelum ini buat perkhidmatan spa kecantikan tetapi disebabkan COVID-19, saya terpaksa bertukar meniaga makanan seperti sandwich, laksa, dan nasi lemak secara penghataran.

“Jadi motor yang diterima ini saya gunakan untuk menghantar makanan yang dijual dan ditempah oleh pelanggan dan saya sangat bersyukur kerana motor ini sangat membantu perniagaan dan berjasa kepada saya.

“Terima kasih banyak-banyak kepada Menteri Besar Pahang dan juga Ahli Dewan Negeri Kerdau bagi motorsikal ini,” katanya.

Sementara itu, Encik Mohamad Saifudin Abdul Rahman, 48, yang juga meniaga makanan berkata beliau akan memanfaatkan motorsikal yang diterima ini sebaik mungkin.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana dengan motorsikal ini ia dapat meningkatkan lagi pendapatan kami terutamanya pada musim pandemik ini.

“Kami mampu menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini walaupun tak sama macam pakej yang ditawarkan tapi kita boleh ubah untuk mendapatkan duit,” katanya yang menjual Nasi Kukus Ayam Dara.

Menurut pemilik kedai dobi layan diri, Encik Mohd Ellyme Othman, 38, beliau melahirkan rasa gembira dengan pengurangan sewa kedai desa yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar.

“Jadinya bersyukur sangatlah dengan apa yang telah diumumkan tadi oleh Menteri Besar kita. Dan bila dah terima kunci ini saya merasa amat gembira dan syukur,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah merasmikan Kedai Desa Rakyat Kuala Kerdau, di Dewan Terbuka Sri Ketumbit, di sini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Jenderak, YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kerdau, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

Kerajaan Pahang memperuntukkan kira-kira RM300,000 bagi tiga program yang dijalankan hari ini iaitu penyerahan geran motor kepada mobilepreneur DN Kerdau, penyerahan kunci kedai desa, dan bantuan kepada 35 penerima. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download