26 MENARA BAHARU, 54 STESEN PEMANCAR DI DAERAH RAUB
Oleh : Mohd Mahathir Mohd Ali
RAUB, 31 OKTOBER 2021 : Sebanyak 26 menara baharu sedang dibina manakala 54 stesen pemancar akan dinaiktaraf di Daerah Raub menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, menerusi satu hantaran di laman Facebooknya berkata, sehingga kini, dua menara di Taman Dato’ Tengku Paris dan Kampung Ulu Atok telah siap dibina dan telah mula beroperasi sejak Jun 2021.
Manakala baki 24 menara lagi akan mula dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2022 nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff
“Dalam usaha sama, sebanyak 54 stesen pemancar sedia ada juga akan dinaiktaraf ke rangkaian 4G di mana sembilan daripadanya telah siap dinaiktaraf baru-baru ini. Antara lokasi tersebut ialah Dong, Kg Peruas, Kg Tranum, Felda Tersang, Kg Sang Lee, Bukit Fraser, Kg Batu Malim, Kg Kundang Patah dan sebagainya.
“Bagi perkhidmatan internet talian tetap, sebanyak 4,172 premis di Raub kini sedang dinaiktaraf ke rangkaian gentian optik bagi memberikan capaian perkhidmatan internet yang berkelajuan tinggi,” katanya.
Beliau berkata, semua usaha ini akan membolehkan masyarakat di kawasan terbabit mendapat perkhidmatan internet 4G yang lebih baik dan laju sekaligus dapat memudahkan urusan termasuk anak-anak yang terlibat dengan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Masyarakat Orang Asli juga tidak terkecuali di mana dua buah Kampung Orang Asli (KOA) iaitu di KOA Sungai Rempan dan KOA Sungai Temir akan mendapat capaian internet jalur lebar satelit selewat-lewatnya pada penghujung Januari 2022 nanti,” katanya.
Pelan JENDELA dijalankan secara bersama di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Kerajaan Pahang bagi meningkatkan perkhidmatan internet di seluruh negeri ini termasuklah daerah Raub.
Pada masa ini, JENDELA dalam pelaksanaan Fasa 1 yang bermula sejak tahun 2020 dan akan berakhir pada penghujung tahun 2022. – PAHANGMEDIA