YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada seorang warga emas di Sungai Koyan, Lipis, hari ini.
BAJET 2022 : BAJET RESTORASI BANTU PULIHKAN PEMBANGUNAN EKONOMI – MENTERI BESAR PAHANG
Oleh : Fairus Mohd Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 30 OKTOBER 2021 : Bajet 2022 yang dibentangkan semalam dilihat prihatin dan tersasar terus kepada rakyat yang ingin dibantu, kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, ia boleh dianggap sebagai ‘Bajet Restorasi’ bagi memulihkan semula sektor pembangunan dan sosio-ekonomi negara yang terkesan teruk akibat penularan wabak Covid-19 dan berupaya untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada seorang kanak-kanak di Sungai Koyan, Lipis, hari ini.
“Ini kerana kita tahu negara kita terkesan akibat Covid-19 dan bagi Kerajaan Negeri Pahang, saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di mana sebagai contoh sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan bagi program pemulihan alam sekitar.
“Kita boleh gunakan untuk pembangunan Tasik Chini yang terkesan sedikit akibat penerokaan tidak sihat dan Kerajaan Negeri telah ambil tindakan menghentikan kerja-kerja perlombongan dan sebagainya.
“Tasik Chini Biosphere Reserve telahpun diiktiraf oleh UNESCO dan saya percaya dengan peruntukan ini limpahannya akan sampai juga ke rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program penyampaian Bantuan Prihatin Pahang di Sungai Koyan, hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertanya khabar kepada penduduk pada program penyampaian Bantuan Prihatin Pahang kepada seorang kanak-kanak di Sungai Koyan, Lipis, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Dalam pada itu beliau berkata, peruntukkan sebanyak RM 2.5 bilion untuk pembangunan masyarakat luar bandar dengan pengkhususan sebanyak RM 1.3 bilion untuk Felda, RM 495 juta kepada Felcra dan RM 699 juta kepada Risda akan dapat membantu pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar dengan lebih pantas.
“Saya percaya peruntukan sebanyak RM2.5 bilion kepada Kementerian Luar Bandar turut akan dinikmati negeri ini kerana di Pahang, kita mempunyai tiga wilayah Felda, 22 buah kawasan Felcra dan hampir 20,000 pekebun kecil yang berdaftar di bawah Risda.
“Dengan adanya inisiatif ini, kita percaya bahawa manfaat daripada lelehan ekonomi pembangunan ini turut akan dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, khususnya anak-anak Pahang,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang turut teruja dengan pengumuman kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.5 bilion bagi pembangunan infrastruktur di negara ini, termasuk projek Central Spine Road (CSR) yang bermula di Kuala Pilah sehingga ke Kuala Krai yang merentasi negeri Pahang.
“Pada Oktober 2021 yang lepas, kita telahpun melancarkan Bentong Bypass yang menjadi sebahagian daripada CSR dari persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1.
“Pembinaan CSR dijangka akan mengurangkan kesesakan jalan raya di Pekan Bentong dan juga meningkatkan aksesibiliti untuk keluar dan masuk ke negeri-negeri Pantai Timur, khususnya Pahang,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar anak-anak Pahang akan mendapat manfaat secara langsung daripada inisiatif dan perancangan yang telah diumumkan untuk membina semula kehidupan mereka, demi masa hadapan yang lebih cemerlang. – PAHANGMEDIA