YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, Lipis hari ini.

ENAM BALAI BOMBA BAHARU DIBINA DI PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUALA LIPIS, 30 OKTOBER 2021 : Pahang bakal menerima enam buah balai bomba baharu dengan tiga daripadanya sedang dalam pembinaan manakala tiga lagi telah menerima kelulusan dan akan dibina dalam masa terdekat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, enam balai bomba tersebut ialah di Sungai Lembing (Kuantan) , Goh Tong Jaya (Genting Highlands) , Kuala Tahan (Jerantut), Chenor (Maran), Benta (Lipis) dan Gambang (Kuantan).

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memeriksa kawalan kehormatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang pada perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, Lipis hari ini.

“Balai-balai ini di dalam senarai kriteria terpenting di mana semuanya terletak di lokasi keperluan mendesak. Maknanya jika berlaku sebarang bencana (bomba) seperti kebakaran.. api cepat merebak, kalau kemalangan pula bukan mudah nak keluarkan mangsa.. jadi kewujudan bomba di lokasi yang lebih dekat dapat membantu.

“Saya juga menyeru pemimpin setempat dan orang ramai melaporkan sekiranya ada berlaku kebakaran contohnya dan saya harap mereka dapat beri kerjasama kepada bomba di Sungai Koyan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Dr Haji Ismail Abd Muttalib; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YH Dato’ Sri Ts. Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, YH. Ir. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan, Lipis hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan yang mula beroperasi pada tahun 2019 ini boleh dimanfaatkan oleh lebih 30,000 penduduk di kawasan sekitar.

“Di sini ada tiga komuniti iaitu masyarakat orang asli, peneroka di Felda Koyan 1,2 dan 3 serta penduduk kampung tradisional.

“Balai bernilai kira-kira RM1 juta dengan jentera dan alat kelengkapan ini juga dapat dimanfaat penduduk di sempadan contohnya di Tersang yang turut boleh dapat bantuan daripada balai balai ini juga,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan dan syabas khususnya kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat bersama seluruh pegawai dan anggota terlibat sehingga terlaksananya kemudahan kepada rakyat di kawasan ini -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds