Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah Maulidur Rasul kepada penerima pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah Bersamaan 2021 Masihi hari ini.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG TITAH RAKYAT TERAP NILAI MANHAJ ROBBANI DALAM SEMUA ASPEK KEHIDUPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 OKTOBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat perlu menerapkan nilai Manhaj Robbani dalam kehidupan seharian bagi melahirkan ummah berkualiti.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku bertitah, setiap rakyat perlu menerapkan konsep yang menjadi tema sambutan Maulidur Rasul ini dengan menjadikannya sebagai keutamaan dan panduan dalam kehidupan.

“Setiap kita perlu menerapkan Manhaj Robbani dalam segala urusan kehidupan. Dalam erti kata yang lain, dalam segala amalan, perbuatan, dan matlamat hidup , kita mestilah meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dan panduan.

“Dalam dunia pekerjaan, apabila Manhaj Robbani sebati dalam diri kita, InsyaAllah kita akan dijauhi daripada isu-isu seperti bekerja sambil lewa, malas, rasuah, tidak berintegriti, pecah amanah, dan sebagainya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah Bersamaan 2021 Masihi hari ini.

“Semua kerja yang kita lakukan, InsyaAllah akan membuahkan hasil kerja yang bermutu dan berkualiti tinggi kerana kita telah niatkan kerja kita, hanya kepada Allah SWT sahaja,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah Bersamaan 2021 Masihi di sini hari ini.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Baginda turut bertitah supaya Kerajaan Pahang mengamalkan prinsip konsep alam sekitar, sosial, dan tadbir urus dalam pentadbiran Kerajaan.

“Konsep alam sekitar, sosial, dan tadbir urus atau environmental, social, and governance (ESG) yang telah saya titahkan, bukanlah suatu perkara atau amalan baharu.

“Prinsip ESG sebaliknya tidak lari daripada suruhan Allah SWT seperti yang digariskan di dalam Al-Quran, dan juga sunnah Nabi SAW.

“Tanggungjawab memakmurkan bumi ini bukan terhad kepada pembangunan materialistik semata-mata, sebaliknya turut melibatkan amanah untuk memelihara alam ini,” titah baginda.

Baginda dalam titah juga menyeru semua pihak supaya bijaksana membangunkan Negeri Pahang supaya maju dan kekal hijau serta lestari. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download