Oleh : Fansurina Abdullah
CAMERON HIGHLANDS, 17 OKTOBER 2021 : Kerajaan Pahang meneruskan usaha memperluaskan capaian internet ke seluruh negeri ini termasuklah ke kawasan perkampungan Orang Asli Telanok yang terletak jauh di pedalaman.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Telanok, Encik Asmadi Ahmad berkata, kemudahan internet adalah sangat perlu di kawasan terbabit memandangkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sepanjang tempoh sekolah ditutup ketika PKP dilaksanakan.

“Pelajar di SK Telanok ini kebanyakannya menggunakan bahan bercetak namun masih terdapat sebanyak 5 peratus yang tetap menggunakan kaedah PdPR kerana mempunyai kemudahan internet yang baik,” katanya.
Jelasnya, kejayaan ini dicapai hasil usaha oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya selalu berhubung dengan Exco Komunikasi, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin, berkenaan permasalahan yang berlaku di kampung kami dan mengambil respon yang baik malah inisiatif daripada beliau juga telah membawa Menteri Komunikasi yang meninjau sendiri keadaan jalur internet di kampung kami,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Sungai Loon, Batin Rasman Badang, 41, berkata, penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman juga kini sudah dapat menikmati kemudahan internet menerusi usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

“Keadaan zaman sudah berbeza, pada hari ini kita sudah boleh berhubung dengan menggunakan internet yang dapat memudahkan urusan terutama pembelajaran secara atas talian,” katanya.
Beliau berharap usaha ini akan dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada semua penduduk dengan kemudahan rangkaian internet 4G yang berjaya dicapai meski di kawasan perkampungan yang dikelilingi hutan. -PAHANGMEDIA