Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 17 OKTOBER 2021 : Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyokong usaha kerajaan dalam meluluskan kawasan baharu bagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Tanjung Putus di Mukim Kuala Kuantan seluas 90 hektar.
Presidennya, Encik Mohd Izzat Afifi Haji Abd Hamid berkata, MBNP sangat menyokong usaha tersebut tambahan pula YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan penyertaan di kalangan belia negeri ini berusia antara 18 hingga 40 tahun.
Jelasnya, ini merupakan peluang kepada golongan terbabit yang kebanyakannya terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.
“Ketika ramai belia yang masih mengganggur dan kehilangan kerja, program TKPM yang akan dilaksanakan ini pastinya dapat melegakan dan membantu ekonomi belia setelah ramai terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), baru-baru ini.
Jelasnya, MBNP bersedia untuk sama-sama terlibat dalam usaha ini dan seiring dengan inisiatif sedia ada yang sedang diusahakan oleh MBNP melalui Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani MBNP.
Malah katanya, usaha oleh kerajaan negeri ini juga adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan supaya golongan belia turut dilibatkan di dalam sektor pertanian dan menjadikan pertanian sebagai pilihan kerjaya dan perniagaan.
Encik Mohd Izzat Afifi berkata, MBNP juga menyeru kepada semua belia supaya dapat memanfaatkan kesempatan untuk bersama-sama menggerakkan TKPM yang bakal diwujudkan.
“Pertanian merupakan satu industri yang menguntungkan untuk belia sekiranya dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya. -PAHANGMEDIA