KUANTAN, 16 OKTOBER 2021 : Tiada rekod kompaun dikeluarkan bagi penetapan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di daerah Kuantan sejak Pahang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN).
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kadar pematuhan SOP dilihat memuaskan sejak peralihan ke Fasa 4 pada 8 Oktober lalu.
“Sekatan jalan raya (SJR) secara tetap juga telah kita tutup namun pemantauan SOP masih diteruskan.
“Sebanyak 14 pasukan pemantauan telah ditubuh bagi melakukan pemeriksaan di kawasan-kawasan tumpuan ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dalam Operasi Bersepadu pematuhan SOP PPN Fasa 4 di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Lebuhraya Pantai Timur di Kuantan, hari ini.
Dalam operasi itu sebanyak 22 saman had laju telah dikeluarkan manakala 104 saman bagi pelbagai kesalahan lain membabitkan kenderaan.
Dalam pada itu, ACP Wan Mohd Zahari berkata, berlaku peningkatan sebanyak 50 peratus aliran trafik yang memasuki ke daerah Kuantan sejak kebenaran rentas negeri diumumkan pada 11 Oktober lalu.
Katanya, bagi memastikan pematuhan SOP terbabit, beberapa pegawai dan anggota telah ditempatkan di pintu masuk ke daerah Kuantan yang akan melakukan pemeriksaan secara rawak maklumat aplikasi MySejahtera bagi memastikan individu yang memenuhi syarat sahaja dibenarkan masuk ke daerah Kuantan.
“Sekiranya terdapat pemandu atau penumpang yang belum lengkap divaksin kita akan mengarahkan mereka untuk berpatah semula,” katanya.
Selain itu, katanya pasukan pemantau juga akan turut melakukan pemeriksaan di kawasan tumpuan ramai seperti tempat pelancongan, riadah dan premis perniagaan bagi memastikan tiada perlanggaran SOP berlaku. – PAHANGMEDIA