Oleh: Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 16 OKTOBER 2021 : Penurunan jumlah pelancong sebanyak 79 peratus pada tahun ini sememangnya memberi kesan besar kepada sektor pelancongan terutamanya pemain-pemain industri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, situasi ini bagaimanapun berubah secara mendadak dengan kedatangan jumlah pelancong yang memberangsangkan selepas kebenaran rentas negeri diumumkan bermula Isnin lalu.
“Pada tahun 2019 kita menerima seramai 15 juta orang pelancong manakala pada tahun 2020, seramai 7 juta orang pelancong datang ke negeri ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.
“Pada tahun ini hanya 486,000 orang pelancong dicatatkan pada tahun ini bagi tempoh Januari hingga Mac. Sektor pelancongan di negeri ini mengalami kerugian hampir RM7 bilion sejak dilanda pandemik COVID-19 dan PKP mula dikenakan pada Mac tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di bangunan UMNO Temerloh, semalam.
Hadir sama Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar memaklumkan bahawa pusat-pusat pelancongan di negeri ini telah dibuka kepada pelancong sejak kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri.
“Pahang telah mula buka semua pusat pelancongan termasuk hutan lipur bermula 11 Oktober.
“Taman tema Genting Highlands pula akan dibuka pada Disember depan selepas siap sedia menemui pengunjung,” katanya. -PAHANGMEDIA