Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 14 OKTOBER 2021 : Kerajaan negeri hari ini bersetuju menyambung perkhidmatan 543 Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Pahang bagi penggal baharu 2022/2023 bermula 1 Januari depan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua perkhidmatan JPKK ini sepatutnya akan tamat pada 31 Disember 2021 nanti.
“Ini sepertimana diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pagi semalam (13 Oktober 2021), yang turut menetapkan bahawa penerusan khidmat ini bagaimanapun, terkecuali atas kes-kes tertentu yang memerlukan penggantian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kesemua JPKK di negeri ini dianggotai seorang Pengerusi dan Setiausaha yang dilantik dalam kalangan kepemimpinan UMNO setempat.
“Selain itu, ialah 14 Ahli Jawatankuasa (AJK) terdiri daripada ahli UMNO serta dalam kalangan ahli PAS iaitu parti bersama UMNO dalam gagasan politik Muafakat Nasional (MN) di negeri ini,” katanya.
Katanya, menerusi pengumuman awal yang dibuat ini akan dapat memberi kelegaan dan kepastian tentang kedudukan Pengerusi, Setiausaha dan AJK JPKK setelah menunjukkan komitmen tinggi serta keberkesanan dalam melaksanakan peranan masing-masing semasa penggal 2020/2021.
“Saya berharap, mereka dapat meningkatkan lagi komitmen dan peranan mereka pada penggal baharu 2022/2023 yang dijangka tempoh lebih mencabar, agar rakyat yang diwakili di kampung masing-masing mendapat perkhidmatan sebaik-baiknya,” katanya. – PAHANGMEDIA