KUANTAN, 13 OKTOBER 2021: “Terima kasih Pahang.” itu ungkapan saudara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri dalam hantaran di Facebooknya.
Semalam, sejarah tercipta apabila bendera Pahang berkibar megah diiringi lagu ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’ bergema di bumi Gaza, Palestin sebagai simbolik pelancaran secara maya Projek Rakyat Pahang di bumi Gaza oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menerusi projek tersebut, Kerajaan Pahang menyumbang sebanyak RM700,000 kepada Tabung Pahang4Palestine pada Kempen Kutipan Dana Tabung Pahang4Palestine serta Pelancaran Projek Rakyat Pahang di Bumi Palestin itu.

Saudara Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, Persatuan Cinta Gaza Malaysia diberi amanah menguruskan sumbangan rakyat Malaysia dan kali ini adalah daripada Kerajaan Negeri Pahang dan rakyat Negeri Pahang Darul Makmur.
Beliau berkata, majlis perasmian pelaksanaan projek baik pulih masjid dan sekolah di Gaza yang terkesan akibat perang baru-baru ini ke atas Gaza dengan nilai RM700,000 diadakan secara dalam talian
Jelasnya lagi, dalam upacara perasmian di salah sebuah sekolah di Bandar Gaza yang akan dibaik pulih nanti, bendera Pahang dinaikkan di sebelah bendera Palestin sebagai tanda solidariti serta sokongan rakyat Pahang bersama penduduk Palestin yang terjajah. – PAHANGMEDIA