Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali
CAMERON HIGHLANDS, 10 OKTOBER 2021 : 97 peratus kawasan di negara ini akan mendapat kemudahan liputan internet jalur lebar 4G menjelang tahun hadapan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa berkata ini melibatkan program di bawah JENDELA dengan kos keseluruhan sebanyak kira-kira RM4 billion.

“Untuk seluruh negara ini (penambahbaikan dan pembinaan menara baharu) hampir RM4 billion semua sekali (perbelanjaan) termasuk Sabah Sarawak.
“Jadi kita harap tahun hadapan keberadaan jalur lebar dalam negara kita memasuki satu fasa yang baru di mana hampir 97 peratus akan mendapat khidmat 4G keseluruhannya.
“Ini melibatkan beberapa ratus tower yang baharu di upgrade. Kita ada program tower baharu, kita ada program naiktarafkan tower yang sedia ada kemudian menyampaikan kemudahan talian fibre optik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat melawat Kampung Orang Asli Pos Telanok di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), YBrs Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek; dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor.
Beliau berkata, Negeri Pahang akan mendapat liputan jalur lebar 4G yang sama seperti negeri-negeri lain tahun hadapan.
“Secara relatifnya rendah (capaian internet) dan menjelang akhir tahun hadapan, Negeri Pahang akan sama dengan semua negeri-negeri yang lain,” katanya.
Beliau berkata, program jelajah ini adalah satu bukti komitmen Kerajaan bagi memastikan semua pihak mendapat kemudahan internet.
“Kemudahan internet adalah hak semua orang dan YAB Perdana Menteri juga mahu supaya tahap kesampaiannya menyeluruh.
“Dan usaha yang sama akan dibuat juga di kampung-kampung Orang Asli yang lain selepas ini,” katanya. -PAHANGMEDIA