KUANTAN, 10 OKTOBER 2021: Hanya tiga tempat tarikan pelancong di daerah ini tidak dibuka kepada pengunjung walaupun Pahang telah
beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula Jumaat lalu.
Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, tiga kawasan tumpuan pelancong itu adalah Menara Kuantan 188, Mini Zoo Teruntum dan Terowong Sungai Lembing.
“Menara Kuantan 188 dan Terowong Sungai Lembing kita tidak buka disebabkan ada sedikit masalah teknikal dan akan dibuka selepas semua masalah berkenaan diselesaikan.
“Manakala Mini Zoo Teruntum pula akan dibuka pada awal tahun hadapan selepas proses menaikkan taraf zoo berkenaan siap,” katanya ketika ditemui media selepas Program Fit 21 Sempena Hari Sukan Negara di MBK di sini hari ini.
Sementara itu, pihaknya juga akan terus melaksanakan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis dan kawasan pelancongan di daerah ini walaupun telah beralih ke Fasa 4, PPN.
“MBK bersama beberapa agensi lain akan sentiasa membuat pemantauan di premis-premis bagi memastikan pemilik dan pengunjung mematuhi SOP selain perlu lengkap dua dos vaksin,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama juga mengingatkan orang ramai walaupun banyak kelonggaran telah diberikan namun jangan leka dengan melanggar SOP yang ditetapkan.
“Pematuhan SOP dan kawalan kendiri perlu diamalkan secara maksimum bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya. – PAHANGMEDIA