Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 9 OKTOBER 2021: Kerajaan Pahang telah memperuntukan lebih RM500,000 kepada belia di negeri ini untuk melaksankan pelbagai program termasuk sukan sepanjang tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan tidak statik dan akan diberikan lagi sekiranaya ada permohonan serta kedudukan kewangan Kerajaan Pahang meningkat.

“InsyaAllah Kerajaan Negeri akan bantu di mana kita sentiasa memberi peruntukan kepada NGO dan belia-belia supaya dalam masa yang sama mereka boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Sementara itu, beliau berkata, Hari Sukan Negara merupakan antara agenda nasional yang merangkumi penglibatan dan penyertaan seluruh masyarakat pelbagai usaha dan penyertaan masyarakat pelbagai usia serta golongan.
“Saya dimaklumkan sasaran penyataan di Pahang adalah seramai 150,000 orang namun pada hari ini sambutan adalah 200,000 orang iaitu melebihi sasaran.
“Jadi saya kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang kerana dapat memacu program ini,” katanya. – PAHANGMEDIA