YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

TIADA PROGRAM PEMUTIHAN TANAH HARAM OLEH SYARIKAT SWASTA DI PAHANG – YAB MB

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 9 OKTOBER 2021: Kerajaan Pahang menafikan dakwaan kononnya terdapat program pemutihan tanah haram di negeri ini yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan, Kerajaan Pahang tidak pernah meluluskan apa-apa perkara berkaitan kepada syarikat berkenaan seperti yang tular di media sosial.

“Saya beranggapan perkara ini tidak benar dan yang mendukacitakan, bagi saya mereka (syarikat) telah menggunakan Kerajaan Negeri telah itu ini dan sebagainya.

“Wahal perkara ini tidak benar langsung dan tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Jadi bagi mereka yang telah terpedaya dan tertipu membuat bayaran saya ingin nyatakan ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Katanya lagi, beliau juga tidak mengetahui mengenai syarikat berkenaan dan hanya mengetahui mengenai isu ini di laman sosial.

Justeru, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang atau tidak.

“Kena lihat kesahihannya bimbang sengaja dicipta ada tujuan lain kita tak tahu. Jika ada proses pemutihan pun akan dibawa kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri akan buat keputusan.

“Selain itu, sebarang penguatkuasaan juga akan dibawa kepada Kerajaan Negeri dan kita akan bincang dalam Mesyuarat Exco dan ianya bukan keputusan individu tetapi bersama,” katanya.

Program pemutihan tanah haram berkenaan kononnya didakwa untuk membantu pihak pentadbir dan Kerajaan Negeri untuk mengawal aktiviti penerokaan tanah kerajaan secara haram namun orang ramai perlu membuat bayaran tertentu kepada syarikat berkenaan untuk tujuan proses pendaftaran. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download