Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 8 OKTOBER 2021 : Sebanyak 2,000 keping Baucar Pelancongan bernilai RM20 (1,000 keping) dan RM30 (1,000 keping) boleh diperoleh melalui aplikasi PahangGo.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, ia adalah inisiatif kerjasama antara Tourism Pahang dan PahangGo bagi merancakkan lagi industri pelancongan di Negeri Pahang setelah hampir dua tahun negara menghadapi pandemik COVID-19.
“Pemberian Baucar Pelancongan berupa diskaun bagi hotel-hotel terlibat akan menambah lagi minat pengunjung ke hotel-hotel tersebut.
“Kerjasama Tourism Pahang dan PahangGo ini dapat meningkatkan lagi bilangan penggunaan Baucar Pelancongan yang boleh didapati lebih daripada 100 hotel-hotel terpilih yang terdiri daripada hotel-hotel bajet,” katanya.
Pelancaran Baucar Pelancongan menggunakan aplikasi PahangGo telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis ringkas di Majlis Perbandaran Bentong, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo Sdn Bhd, Encik Affandi Mohd Isa serta Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.
Sementara itu, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, pelaksanaan Baucar Pelancongan Negeri Pahang ini adalah sebagai permulaan untuk melonjakkan lagi industri pelancongan domestik di Negeri Pahang amnya di samping
menarik pelancong-pelancong dari luar Negeri Pahang apabila sempadan negeri dibuka semula dalam masa terdekat.
“Selain dapat mempromosikan destinasi pelancongan negeri, ia juga dapat memberi satu daya penarik kepada hotel-hotel bajet yang terlibat dalam program ini seterusnya melonjakkan keuntungan bagi setiap hotel yang terlibat dalam penggunaan Baucar Pelancongan ini.
“Jika mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna aplikasi PahangGo, pihak Tourism Pahang pastinya akan menambah baik Baucar Pelancongan dari segi nilai dan kuantiti Baucar Pelancongan tersebut pada masa akan datang,” katanya. -PAHANGMEDIA