Anggota penguat kuasa JPNP Pahang Timur menyita jengkaut yang digunakan untuk aktiviti melombong bijih besi secara haram di Hutan Simpan Ibam.

PEJABAT HUTAN ROMPIN TUMPAS KEGIATAN MELOMBONG BIJIH BESI HARAM

KUANTAN, 8 OKTOBER 2021: Sebuah lombong bijih besi haram dua hektar di Kompatmen 220 Hutan Simpan Ibam, di Muadzam Shah digempur oleh Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin selasa lalu.

Dalam operasi itu diketuai Penolong Pemelihara Hutan Kanan I, Ahmad Aizuddin Hashim bersama 12 kakitangan termasuk anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Timur menemui kawasan aktiviti melombong yang menggunakan tujuh jentera dalam hutan simpan berkenaan.

Pegawai PHD Rompin, Encik Shairani Mamat berkata, siasatan pihaknya mendapati syarikat yang terbabit dengan kegiatan melombong itu ada membuat permohonan kerja melombong bijih besi tetapi masih diperingkat awal dan belum diluluskan lagi.

“Kawasan yang di ceroboh seluas kira-kira dua hektar dan terletak di luar kawasan yang di mohon lesen, aktiviti melombong dipercayai masih baru dilakukan oleh antara 10 hingga 15 individu,” katanya di sini.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan mereka yang menjalankan aktiviti melombong secara haram itu sempat melarikan diri sembunyi di dalam hutan dan gagal dikesan anggota penguat kuasa.

“Pemeriksaan di kawasan lombong terbabit kita menemui tiga lori dan empat jengkaut yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan membersih kawasan serta memindahkan bahan galian di kawasan terbabit.

“Pegawai operasi telah merujuk pada Pegawai Penguat kuasa Negeri Pahang Zon Timur berhubung kegiatan melombong di kawasan terbabit dan mendapati ia dilakukan diluar kawasan lesen,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya bertindak menyita tujuh jentera dan di simpan di pusat simpanan barangan rampasan JPNP di Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Temerloh.

Katanya, Hutan Simpan Ibam menjadi tumpuan kegiatan melombong bijih besi dan emas, untuk membendung kegiatan itu rondaan oleh anggota penguat kuasa JPNP Pahang Timur dan Unit Tindakan Khas PHD Rompin dilakukan dari masa ke semasa. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download