Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 8 OKTOBER 2021 : Enggan terus melihat keluarganya dibelenggu kesusahan hidup, adik Nur Tarnia Fouladipoor, 17, tekad mahu belajar bersungguh-sungguh seterusnya mampu mengubah nasib keluarga.
Menurutnya, kehidupan kini dijalani seadanya sambil membantu ibu dan bapanya yang bekerja di kebun orang dengan mengutip cili.
Sehinggakan dia hadir ke majlis penyerahan bantuan komputer riba pun dengan memakai pakaian ke kebun kerana perlu membantu ayahnya mengutip cili di kebun.

“Sekarang ayah tengah tolong kebun orang, kebun cili.. hari ni kena petik (cili) orang (kerja) tak ramai jadi saya kena tolong,” katanya.
Dalam rasa sebak anak ketiga dari empat beradik ini menjelaskan keadaan hidup yang penuh kesukaran memerlukan dia berkongsi telefon dengan adiknya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Namun, waktu kelam yang dilalui kini mula menampakkan sinar selepas Kerajaan Negeri menyerahkan sebuah komputer riba bagi memudahkan sesi pembelajarannya.
“Memang amat berterima kasih sebab ini ialah satu (kemudahan) bukan selalu dapat.. Bila dapat ni memang sangat berterima kasih. Bukan semua orang dapat sebab keadaan ayah (yang susah).. memang pemberian ini menolong saya.
“Sekarang nak kena kongsi (telefon dengan adik) bila kena buat projek sekolah memang susah, jadi dapat laptop ini memang memudahkan urusan lah dan saya amat berterima kasih,” katanya sebak.
Meletakkan sasaran untuk memperolehi semua A dalam sembilan subjek yang bakal dalam peperiksaan SPM tahun depan, adik Nur Tarnia ingin mengubah nasib keluarganya dengan pencapaian cemerlang dalam pelajaran.
“Ayah menyara keluarga dengan bekerja di kebun orang.. tolong kebun orang kerana dia pun tidak boleh dapat pekerjaan di luar sekarang ini.
“Bila pagi sampai petang, saya akan tolong ayah.. Saya tolong ayah kerana ayah pun ada sakit (belakang)..so memang saya akan pergi tolong.
“Ya, memang Tarnia nak belajar rajin-rajin nak ringankan beban ayah (boleh dapat biasiswa). Kalau dapat further study kat mana-mana tak perlu guna banyak duit dari ayah, tak payah suruh ayah bayarakan duit untuk kolej atau mana-mana,” katanya yang berimpian untuk meneruskan pelajaran dalam bidang IT dan Sains Komputer.
Semalam, adik Nur Tarnia menerima sebuah komputer riba yang diserahkan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis ringkas di Majlis Perbandaran Bentong. – PAHANGMEDIA