Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 OKTOBER 2021 : Majlis Bandaraya Kuantan akan melakukan kawalan kebersihan di kawasan Pantai Kampung Chempaka yang dicemari oleh sampah sarap.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, pihaknya akan menjadikan kawasan Pasir Puteri di Sungai Lembing sebagai contoh.
“Jadi saya ingat, apa yang telah kita laksanakan di Pasir Puteri, Sungai Lembing, di mana kawalan kebersihan (kawasan pantai) kita serahkan tanggungjawab dan juga pengawalan kepada komuniti di sana.

“Alhamdulillah kita lihat apa yang berlaku di Sungai Lembing telah pun merubah landskap di sana, di mana keadaan lebih bersih, pengunjung lebih rasa yakin dan mereka pun gembira apabila bersama keluarga di tempat yang bersih.
“Oleh sebab itu, telah sampai masanyalah, di Chempaka ini kita melaksanakan perkara yang serupa, dan berdasarkan kelulusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri yang membenarkan proses kutipan oleh komuniti-komuniti yang kita beri kebenaran, jadi di sini pun kita akan laksanakan perkara serupa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Ramah Mesra Datuk Bandar MBK bersama penduduk Kampung Chempaka, di sini.
Selain itu, pihak pengurusan kawalan ini juga akan membekalkan plastik sampah kepada para pengunjung bagi mengelakakkan pembuangan sampah di merata-merta tempat.
“Kita akan berpesan kepada pengunjung, sampah yang dijana daripada proses mereka berkelah, semua perlu dikumpul dan dibawa balik. Tidak dibenarkan tinggal di sini,” katanya.
Sebanyak 412 kilogram sampah telah berjaya dikutip semalam di sepanjang kawasan persisiran pantai hasil kerjasama kakitangan MBK dan orang kampung. – PAHANGMEDIA