Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 7 OKTOBER 2021 : Dua lagi Seksyen Jalan Central Spine (CSR) iaitu Seksyen 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik di Bentong dan Seksyen 5D Bentong bypass dibuka secara rasmi hari ini.
Majlis perasmian penyerahan projek disempurnakan Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadzillah Yusof dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Jajaran Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (Lebuhraya Pantai Timur) melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga dan berakhir di Persimpangan Keruntung, Pahang.
Laluan ini telah diwartakan menjadi Jalan Persekutuan 34 (Jalan Central Spine) dengan panjang Jajaran yang dibuka hari ini ialah 22.3 kilometer.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan Jajaran Jalan Central Spine yang dibuka kepada pengguna adalah sepanjang 89.25 kilometer.

Kedua-dua seksyen bernilai RM631.98 juta ini ialah sebahagian daripada keseluruhan projek CSR bebas tol sepanjang 306.8 kilometer antara Kuala Krai, Kelantan hingga persimpangan LPT di Bentong bernilai RM7.3 billion.
YB Dato’ Sri Haji Fadzillah yang ditemui pemberita berkata, peruntukan projek CSR daripada Gua Musang hingga ke Persimpangan LPT Karak sudah ada di mana sebahagian projek sudah siap dan ada yang sedang dalam pembinaan.
“Cuma yang tinggal bagi pakej di Bentong ini adalah (jalan) sambungan ke Negeri Sembilan dan seterusnya ke Johor yang dipanggil Pakej 6.
“Ada satu isu lagi iaitu di Benta Bypass di atas kehendak Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan tersebut, yang tu kita perlu selesaikan dengan EPU (Unit Perancang Ekonomi) untuk mendapat peruntukan tambahan. Projek telah berjalan cuma daripada jalan utama masuk ke pekan Benta perlu kita selesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata projek berkenaan secara keseluruhannya akan siap pada tahun 2026 namun semuanya bergantung kepada keadaan dan situasi semasa.
Setakat ini bagi negeri Pahang katanya, sepanjang 69.75 kilometer laluan bagi projek Jalan Central Spine telah siap sepenuhnya.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pembukaan jalan hari ini menjadikan masa perjalanan lebih pendek dan jauh lebih selesa akan dirasai pengguna jalan raya selepas ini.
“Sudah tentu lah banyak memberi faedah kepada masyarakat bukan sahaja kepada setempat malahan luar dari Bentong dan Raub.
“Selalunya sesak pada musim perasaan jadi saya percaya dengan pembukaan lebuhraya (CSR) kita hari ini boleh menjimatkan flow trafik berbanding keadaan sebelum ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Kanan Kerja Raya serta semua yang terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA