Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 7 OKTOBER 2021 : Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Agropolitan Tanjung Gahai disambut penduduk penuh rasa gembira dan teruja.

Bagi penduduk, Encik Ramli Desa, 67, kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke kawasan tempat tinggalnya sangat dihargai apatah lagi tidak pernah berpeluang untuk melihat Baginda dari dekat.
“Perasaan pakcik gembira lah sebab tak pernah tengok rupa Tuanku kita ni. Rasa berbangga lah sebab (Tuanku) sudi datang ke tempat kami ni.

“Baginda sama dengan ayahanda suka bermesra dengan rakyat, dengan kanak-kanak pun nampak mesra dan selesa,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.
Bagi penerima bantuan, Puan Siti Rohani Ramli, 35, kehadiran KDYMM Pemangku Raja Pahang benar-benar menggembirakannya terutama apabila berpeluang melihat baginda dari dekat.
“Saya rasa beruntung dan bertuah sebab KDYMM Pemangku Raja Pahang nak bagi sendiri bantuan kepada kami di sini. Memang gembira dan bertuah sebab pertama kali (baginda) datang sini kan.. nak cakap terima kasih lah kepada Tuanku sebab sudi datang ke sini, ” katanya.

Seorang lagi penerima bantuan, Encik Ahmad Tajudin Noordin, 42, turut memzahirkan rasa syukur dan gembira kerana berpeluang bertemu mata dengan baginda.
“Terima kasih kerana sudi ke tempat kami. Keprihatinan baginda sangat terbaik.. mesra dengan rakyat, benar-benar mengambil berat tentang rakyat walaupun baginda masih muda,” katanya. -PAHANGMEDIA