Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berbincang bersama wakil SK Hulu Tembeling dan penduduk ketika mengadakan lawatan kerja ke Hulu Tembeling

KAJIAN AKTA SKMM BERADA DI PERINGKAT AKHIR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali

JERANTUT, 4 OKTOBER 2021 : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sudah berada di peringkat akhir bagi meneliti beberapa frasa dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) bagi memberikan aspek perundangan yang lebih berkesan dalam menangani isu keselamatan siber negara.

Pengerusi SKMM, YBrs Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, kajian meliputi perlindungan pengguna, mewujudkan peraturan supaya segala perkhidmatan telekomunikasi di dalam negara dapat dikawal selia (dilesenkan) dan usaha menangani isu keselamatan siber.

“SKMM telah pun membuat pembentangan kepada kementerian dan meminta pendapat beliau sebelum diangkat kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita perlukan masa sedikit untuk memperkemaskan penelitian dalam tempoh seminggu hingga dua minggu sebelum dibawa ke kabinet untuk kelulusan bagi pembentangan di parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan Lawatan Kerja ke beberapa kampung di Hulu Tembeling, Jerantut bagi meninjau kadar capaian internet di lokasi pedalaman.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris dan Ketua Kampung Mat Daling, Encik Wan Mohd Sahaimi Wan Ishak.

Penelitian tersebut dibuat selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa meminta agar SKMM mengkaji Beberapa frasa dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589).

Menurut Tan Sri Annuar, SKMM memerlukan kuat kuasa undang-undang yang berpadanan dengan keadaan semasa berikutan akta sedia ada wujud sejak lebih 20 tahun. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download