Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 01 OKTOBER 2021: Pahang melalui TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) mendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Abu Dhabi (AD) Ports Group bagi membangunkan kawasan perindustrian gas, minyak dan maritim di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas (KPTA).
TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) menandatangani perjanjian persefahaman bersama Abu Dhabi Ports Group yang berpangkalan di Abu Dhabi, UAE untuk meneroka peluang pembangunan sebuah kawasan perindustrian gas, minyak dan maritim di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas (KPTA) yang dianggarkan seluas 4,225 ekar.
Perjanjian ini disaksikan oleh YAM Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Encik Mohd Faizal Jaafar.
AD Ports Group akan bertanggungjawab kepada pelabur, penyewa, dan pengendali selain menyelaraskan usaha di antara pihak pelabuhan dan Kerajaan Negeri bagi menguruskan kawasan seluas lebih 1,709 hektar.
Perjanjian ini juga akan memfokuskan kepada penyelidikan pasaran, proses teknikal dan operasi, serta kajian kewangan dan komersial, selain mengkaji kemungkinan meneroka dan merealisasikan potensi penuh kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Eksekutif TGA Solutions Sdn Bhd, Dato’ Haji Amiruddin Mohd Said berkata pihaknya berbangga memilih AD Ports Group untuk memajukan pembangunan di Taman Perindustrian Gas, Minyak, dan Maritim di negeri ini.
“Kami berbangga memilih Abu Dhabi Ports Group, salah sebuah syarikat yang terunggul dalam memacu perdagangan dan industri untuk memajukan pembangunan Taman Perindustrian Gas, Minyak dan Maritim di Negeri Pahang.
“Ini kerana AD Ports Group memiliki kepakaran dan pengetahuan yang luas dalam sektor tenaga, dan peluang ini dapat digunakan untuk memajukan Kawasan Perindustrian Tanjung Agas,” katanya.
Menurut Ketua Kluster Pelabuhan AD Ports Group, Encik Saif Al Mazrouei, pihaknya juga merasa berbesar hati dengan jalinan kerjasama bersama TGA Solutions Sdn Bhd.
“Ini kerana perjanjian ini menunjukkan kami berperanan sebagai pemacu bagi industri dan perdagangan di seluruh dunia.
“Dengan memanfaatkan rangkaian pengendali maritim dan perdagangan global kami, serta tahap pengalaman kami dalam bidang komersial dan industri di Abu Dhabi, kami berhasrat untuk mengembangkan ekosistem yang unik di Taman Perindustrian ini yang dilihat memenuhi keperluan para pemain industri minyak dan gas terkemuka dunia.
“Oleh itu, kami akan bekerjasama erat dengan rakan global kami untuk mengenal pasti peluang pembangunan yang berpotensi, peluang untuk melaksanakan inovasi di kawasan ini, dan juga mendapatkan beberapa bakat bertaraf dunia untuk memastikan kejayaan masa depan Kawasan Perindustrian Tanjung Agas,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan 1,709 hektar tanah untuk tujuan ini di kawasan yang dikenali sebagai sebagai Kawasan Perindustrian Tanjung Agas. -PAHANGMEDIA