Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 1 OKTOBER 2021 : Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang bersama Alam Flora membuka Pusat Pembelian Barangan Kitar Semula ️(Buy-Back Centre) di seluruh negeri ini bertujuan memudahkan penduduk dan orang ramai untuk melakukan kitar semula.
Pengarah SWCorp Pahang, Encik Sharudin Hamid berkata, pihaknya telah membuka banyak pusat pembelian barangan kitar semula di setiap daerah bagi membolehkan orang ramai berbuat demikian sekali gus dapat mendidik mereka untuk mengasingkan barangan tersebut mengikut kategori sebelum dikitar.

“Kita nak beri kemudahan kepada orang dan mereka ada pilihan pertama mereka boleh letak di luar rumah supaya konsesi Alam Flora boleh kumpul, yang kedua kita ada Program Trash to Cash secara berjadual.
“Dan yang ketiganya adalah inisiatif Alam Flora dengan mewujudkan public centre dua lokasi di sini dan orang tidak ada alasan untuk tidak menghantar dan membuat pengasingan sisa pepejal dan kita telah sediakan fasiliti dan mereka boleh hantar pada hari yang telah ditetapkan,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengurus Besar Operasi Alam Flora, YM Raja Kamal Azizul Raja Ibrahim.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada pembukaan Mustering Point Alam Flora Taman Gelora, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Mustering Point Alam Flora Taman Gelora akan dibuka pada setiap Selasa, Khamis dan Jumaat manakala Mustering Point Alam Flora Pusat Bandar (bersebelahan Stadium Darul Makmur) pula akan dibuka setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
Encik Sharudin berkata, secara purata sebanyak 15 tan barangan kitar semula berjaya dikumpul sebulan di mana sepanjang tahun 2020 sebanyak 147 tan barangan kitar semula berjaya dikumpul dengan nilai RM54,588.51 manakala sehingga September 2021 pula, sebanyak 44 tan barangan kitar semula dikutip dengan nilai RM21,186.25. – PAHANGMEDIA