Adik Hayfa Adni Nasaruddin, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

KEGIGIHAN ANTARA KUNCI KEJAYAAN ADIK HAYFA MENANGI PERTANDINGAN PIDATO PERINGKAT KEBANGSAAN

Oleh : Shazli Sufi Che Unik
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

JERANTUT, 29 SEPTEMBER 2021: Kegigihan adik Hayfa Adni Nasaruddin, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya di sini membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Adik Hayfa Adni Nasaruddin, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya.

Menurut Guru Pembimbing dan Jurulatih Pidato SK Jerantut Jaya, Cikgu Sa’diah Mohd Rais, adik Hayfa pada awalnya ragu-ragu apabila dipilih sebagai peserta pertandingan pidato kerana ia merupakan pengalaman baru buatnya.

Namun katanya, atas bimbingan dan usaha gigih, adik Hayfa berjaya dipilih sebagai johan dalam pertandingan tersebut.

“Antara faktor saya memilih adik Hayfa kerana dia memiliki kegigihan untuk berjaya, tidak mudah mengalah dan sentiasa berani mencuba perkara baharu,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan semalam.

Adik Hayfa Adni Nasaruddin, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya bersama Guru Pembimbing dan Jurulatih Pidato SK Jerantut Jaya, Cikgu Sa’diah Mohd Rais.

Beliau berkata, adik Hayfa merupakan pelajar yang aktif sejak awal persekolahannya lagi dan aktif melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan diperingkat sekolah dan negeri sejak pra sekolah lagi.

Sementara itu, adik Hayfa berkata, penglibatan dalam pertandingan tidak menganggu tumpuannya dalam pelajaran sebaliknya beliau membahagikan masa antara waktu belajar, waktu latihan dan waktu mengisi masa lapang.

Adik Hayfa yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah apabila dewasa kelak tidak menafikan minat terhadap penggunaan gajet tetapi masih dalam kawalan dan tidak sampai mengabaikan pelajaran.

Apabila ditanya mengenai minat, Adik Hayfa meminati seorang Youtuber yang sering beliau ikuti di Youtube kerana video yang dihasilkan banyak memberi motivasi dan pemangkin semangatnya untuk terus positif dalam menempuh apa juga cabaran. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download