YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis Borang 5A) di Kampung Tok Macang di Dewan Najib Razak, Raub.

KERAJAAN PAHANG DALAM PROSES SEDIAKAN RANCANGAN PEMELIHARAAN BUKIT FRASER

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

RAUB, 27 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang sedang dalam proses menyediakan Rancangan Kawasan Khas Pemeliharaan dan Pelancongan Bukit Fraser yang dijadualkan bermula tahun hadapan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata proses penyediaan rancangan ini merupakan kerjasama Kerajaan Pahang bersama Kerajaan Persekutuan.

“Rancangan ini dijalankan sebab kawasan itu adalah pusat peranginan yang mana kita kena pelihara pembangunannya.

“..dan ia mestilah terlebih dahulu dikaji kerana ini melibatkan tanah dan sebagainya selain kawasan pun terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan surat kelulusan semasa Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis Borang 5A) di Kampung Tok Macang di Dewan Najib Razak di sini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin.

Menurut beliau, pembangunan kawasan ini perlu dirancang secara teliti dan tidak boleh dijalankan secara sesuka hati.

“Bukit Fraser ini dikenali sebagai Little England yang menjadi tempat tumpuan pelancongan, jadi pembangunan mestilah dirancang secara elok dan tidak boleh dibuat secara sesuka hati.

“Jadi itu yang kita buat draf Rancangan Tempatan (Bukit Fraser) tersebut,” katanya.

Beliau berkata antara rancangan bagi memulihara kawasan Bukit Fraser antaranya adalah untuk memelihara kawasan hutan di situ.

“Kita akan buat apa yang boleh menarik pelancongan, yang boleh tarik orang datang ke Bukit Fraser, maknanya kita kena pelihara hutan di situ,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan 5 Permata Raub yang merupakan strategi memperkukuhkan kedudukan Raub ke peringkat global, beliau berkata Kerajaan Pahang akan memberikan kerjasama sewajarnya kepada rancangan ini.

“Apa yang Pengarah PLANMalaysia, YBrs. Dr. Shamsaini Shamsuddin cakap tersebut (rancangan Raub 5 Gems) adalah berdasarkan fakta yang telah dikaji.

“Dan Kerajaan Negeri akan bagi kerjasama yang sewajarnya tapi kita kena tengok dululah proposal, permohonan dan sebagainya, dan sekiranya baik untuk rakyat, untuk Kerajaan, kita akan laksanakan,” katanya.

Cadangan 5 Permata Raub (Raub 5 Gems) adalah melibatkan durian Musang King sebagai ikon produk pertanian peringkat global; Bukit Fraser sebagai Eko Warisan Tanah Tinggi; Kompleks Geopark Benum yang mempunyai Bunga Rafflesia; Bandar Raub sebagai Bandar Agri Warisan; dan Eko-pelancongan dan Agro-pelancongan dengan slogan Moh Ke Raub!. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download