Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 26 SEPTEMBER 2021: Seramai 521 keluarga terutamanya masyarakat Orang Asli Kampung Simpai di sini bersyukur apabila jalan baharu sejauh 4.1 kilometer ke kampung mereka telah siap dibina sepenuhnya sejak 17 September lalu.
Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata, projek pembinaan jalan ini telah diluluskan oleh beliau pada tahun 2016 ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Katanya, projek ini melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama sejauh 4.1 kilomter yang siap sepenuhnya pada 2018 dan fasa kedua sejauh 4 kilometer yang siap baru-baru ini walaupun mengalami sedikit kelewatan.

“Projek ini telah dipohon oleh YB Ahli Dewan Negeri Bebar, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Ariff pada 2016 lalu dan saya selaku Perdana Menteri ketika itu telah meluluskannya kerana ianya amat penting kepada masyarakat Orang Asli di sini.
“Projek ini merupakan sambungan dari projek fasa 1 sejauh 4.1 kilometer yang telah siap lebih awal dan projek fasa 2 ini menelan belanja kira-kira RM9.4 Juta.
“Walaupun projek ini mengalami sedikit kelewatan selama sembilan bulan akibat negara kita berdepan dengan pandemik COVID-19 dan PKP yang dilaksanakan, namun projek ini siap juga akhirnya sekaligus dapat memberi manfaat kepada lebih 521 keluarga Orang Asli disini termasuk pengusaha-pengusaha ladang sawit untuk mengeluarkan hasil tanaman mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang ketika mengadakan lawatan kerja ke Kampung Orang Asli Simpai di sini, Jumaat lalu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail kerana berusaha sebaik mungkin bagi memastikan projek fasa 2 ini dapat terus dilaksanakan walaupun selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018 lalu.
Turut sama, Ahli Dewan Negeri Bebar, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkifli; Jurutera Awam (Jalan) JKR Daerah Pekan, Encik Nazrul Hisham Mohd Holdin dan Tok batin Kampung Simpai, Encik Marjan Aris.
Sementara itu, Puan Nadirah Hasan, 41, berkata, dia amat bersyukur kerana jalan ini telah siap sepenuhnya bermula dari luar hinggalah ke kawasan kampung dan sekolah.
“Dato’ Sri Najib banyak membantu kami masyarakat Orang Asli dari dulu hinggalah sekarang. Kalau dulu-dulu nak keluar dari kampung pun susah, lebih-lebih hujan, jalan licin, bahaya,” katanya.
Menurut Sahar Baharudin, 33, sekarang keadaan amat berbeza jika dibandingkan sebelum ini.
“Jika dulu-dulu jalan tanah merah, saya pun pergi kerja terpaksa menempuh jalan tanah merah, kadang bila hujan habis kotor semua baju kami tapi sekarang syukurlah tak ada masalah semua tu lagi.
“Terima kasih banyak-banyak, Menteri Besar Pahang, Dato Najib dan YB Fakhruddin kerana bersusah payah memberi kesenangan kepada kami penduduk Orang Asli ini,” katanya. – PAHANGMEDIA