Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2021 : Geran penyelidikan yang diberikan oleh Kerajaan Pahang dilihat dapat membantu pemeliharaan biodiversiti di Taman Negeri Rompin oleh para penyelidik.
Salah seorang penerima geran penyelidikan, Dr. Nazirah Mohamad Abdullah daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata, geran sebanyak RM10,000 ini dapat membantu mereka melakukan pemuliharaan dan skop kajian yang dilakukan.

“Kajian saya fokus kepada nak buat laluan semula kepada gajah dan kita diberi RM10,000 bagi melaksanakan kajian ini dan terima kasih kerana memberi geran ini,” katanya yang melakukan kajian mengenai inventori spesis gajah daripada segi taburan dan pergerakan bagi tempoh 12 bulan bermula tahun hadapan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Sesi Penyampaian Surat Tawaran dan Mock Cheque Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Taman Negeri Rompin bagi Tahun 2020 semalam.
Majlis penyampaian geran berkenaan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Dr. Razak Terhem daripada Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) beliau akan mengkaji kehadiran cendawan bercahaya pada waktu malam di Taman Negeri Rompin menggunakan geran yang diterima ini.
“Kajian mengenai cendawan bercahaya pada waktu malam sebagai tarikan eko-pelancongan baharu di Taman Negeri Rompin di mana kami akan mengkaji kehadiran cendawan ini dan juga mengkaji spesis-spesis yang ada untuk tarikan eko-pelancongan tersebut,” katanya.
Sementara itu, menurut Dr. Zarul Hazrin Hashim daripada Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata geran penyelidikan ini akan digunakan bagi kajian diversiti mamalia kecil dan iktiofauna di Taman Negeri Rompin.

“Kita akan guna geran ini untuk mengkaji inventori haiwan-haiwan yang ada di Taman Negeri Rompin atas dasar memulihara khazanah negara,” katanya yang turut melakukan kajian terhadap kepelbagaian spesis ikan selama 12 bulan bermula tahun hadapan. – PAHANGMEDIA