Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 22 SEPTEMBER 2021 : Keprihatinan kerajaan menerusi pemberian pelbagai bantuan terutamanya Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang disediakan khusus ketika situasi pandemik COVID-19 ketika ini.
Seorang penerima BPP, Puan Aini Ibrahim, 46, yang bekerja sebagai tukang masak di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dong, Raub, mengakui bahawa kehidupan sangat terjejas sejak pandemik COVID-19 melanda.

Akibat hilang punca pendapatan, dia kini mengusahakan kebun bagi menampung kehidupan dia dan keluarga.
Justeru, pemberian bantuan oleh pihak Kerajaan Pahang benar-benar melegakan golongan yang terjejas pendapatan akibat kehilangan pekerjaan.
“Dengan bantuan bolehlah meringankan beban serba sedikit, Alhamdulillah kerajaan dah bagi kan, saya bersyukur sangat sebab saya pon masa PKP ni memang banyaklah terjejas, bukan sikit memang banyak,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, Nor Syafizah Sarifi, 18, sangat berbangga dan gembira apabila segala kesungguhannya dalam SPM akhirnya membuahkan hasil dengan pencapaian 8A sekali gus dapat membanggkan ibu bapa serta memberi manfaat buat dirinya sendiri.
Dia yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah Batu Talam, Raub kini menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad Sultan Ahmad Shah Jengka.
Manakala seorang Imam Masjid Kampung Jeruas, Encik Saidin Harun, 67, pula sangat bersyukur dengan keprihatinan pihak kerajaan menerusi kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, terhadap imam di masjid seluruh negeri dengan memberikan sumbangan jubah.

“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada yang sudi memberikan sumbangan ini, semoga Allah akan memberi saham kepada mereka,” katanya.
Kesemua mereka telah menerima sumbangan masing-masing pada Program Penyampaian Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang Tahun 2021 di Masjid Sultan Abu Bakar di Raub.
Pada program itu, sebanyak 74 masjid dan surau telah menerima sumbangan jubah kepada iman-imam manakala sebanyak 23 orang menerima insentif bagi pengusaha kantin dan dewan makan bagi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).
Manakala, seramai lapan orang menerima bantuan khas kewangan kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Ihsaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) serta seramai enam pelajar turut menerima Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020. – PAHANGMEDIA