YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin di Kuantan hari ini.

PROSES VAKSINASI PELAJAR BERJALAN LANCAR – YAB MENTERI BESAR

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim

KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2021: Kira-kira 42,000 pelajar tingkatan empat dan lima di negeri ini sedang mendapatkan suntikan vaksin bermula semalam dan proses yang berlangsung berjalan dengan lancar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati para pelajar dan ibu bapa akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin di Kuantan hari ini.

“Hari ini saya berkesempatan tinjau lebih dekat pemberian vaksin kepada anak-anak kita, pelajar form (tingkatan) 4 dan form (tingkatan) 5 dan juga yang berumur 12 tahun ke atas.

“Ini adalah usaha kita (kerajaan negeri) yang berterusan untuk beri vaksin kepada pelajar-pelajar dan Alhamdulillah, sambutan yang agak baik kita dapati.

“Saya sempat bertemu dengan pelajar, mereka nampak ceria dan gembira, tidak ada rasa bimbang dan mereka menyahut seruan kerajaan dan saya ucap syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar juga ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, di sini hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan I, YB Encik Mohd Shahar Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus dan Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Encik Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, selain daripada golongan pelajar (berusia 16 dan 17 tahun) tumpuan turut diberikan kepada belia masyarakat Orang Asli.

“Saya ucap terima kasih kepada KKM khususnya kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah kerana telah memberi kebenaran khas iaitu selain daripada pelajar form (tingkatan) 4 dan form (tingkatan) 5, golongan belia juga boleh diberi suntikan sekali harung apabila kita pergi ke kawasan Orang Asli.

“Kita tak hadkan kepada tingkatan 4 dan 5 (sahaja), (tetapi juga) ada belia yang tampil atau kita suruh datang untuk ambil suntikan kerana jarak (perkampungan Orang Asli) yang agak jauh dan yang lebih penting kita dapat uruskan pemberian vaksin dengan cepat,” katanya yang memaklumkan terdapat seramai 173,000 orang remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Negeri Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin di Kuantan hari ini.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana usaha pemberian vaksin di kawasan masyarakat Orang Asli ini telah diberi (bekalan) vaksin CanSino (single dose) dan bakal memudahkan urusan yang dilakukan.

“Kita tidak melupakan mereka yang OKU di mana remaja yang terlibat kita bagi perhatian juga untuk suntikan vaksin.

“Kita cuba selesaikan dengan kadar segera dan saya harap semua pelajar dapat beri kerjasama yang baik kerana ini adalah untuk kebaikan mereka juga serta negeri dan negara,” katanya

Sementara itu, beliau memaklumkan berkenaan usaha pemberian vaksin kepada seluruh warga Felda di negeri ini.

“Sasarannya, kita akan selesai bagi suntikan kepada 30,000 orang peneroka dan mereka yang bekerja di Felda.

“Saya juga nasihat kepada semua agensi terlibat untuk mencari dan bukan hanya menunggu, maknanya kalau kita tahu ada tempat yang belum divaksin kita akan pergi beri suntikan kepada mereka,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download