Antara peserta yang menyertai program 'Trash to Cash' yang dianjurkan oleh SW CORP.

‘TRASH TO CASH’ GALAK ORANG RAMAI KITAR SEMULA

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 19 SEPTEMBER 2021 : Usaha yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menerusi program ‘Trash to Cash’ berjaya menarik minat orang ramai untuk mengitar semula bahan-bahan terbuang.

Pengarah SWCorp Pahang, Encik Sharudin Hamid berkata, pada Mei hingga Disember tahun lalu, sebanyak 147,754 kilogram barang terpakai diperoleh daripada orang ramai di seluruh Pahang dengan nilai RM54,588.51.

Antara peserta ‘Trash to Cash’ anjuran SW Corp yang menerima wang tunai setelah mengitar semula barangan terbuang.

“Setiap barangan terpakai perlu diasingkan mengikut kategori kertas, plastik dan e-waste seperti mentol lampu, bateri, peralatan elektrik dan peralatan elektronik,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh Mei hingga Disember 2020 sebanyak 181 lokasi kaunter ‘trash to cash’ telah dibuka di setiap daerah di seluruh Pahang.

Daerah Kuantan paling tinggi menerima jumlah barangan terpakai dengan 92,340 kilogram menerusi 78 kaunter ‘trash to cash’ yang telah dibuka.

Manakala daerah Temerloh pula berjaya mengumpul sebanyak 25,005 kilogram barangan terpakai dengan hanya 12 lokasi kauntern ‘trash to cash’ yang dibuka.

Menurut Encik Sharudin, program seumpama ini bukan sahaja dapat mendidik dan memupuk orang ramai untuk mengitar semula tetapi dapat menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat.

SWCorp masih meneruskan program sama dengan membuka kaunter di lokasi-lokasi terpilih meskipun agak terhad kerana terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) namun sambutan daripada penduduk setempat amat menggalakkan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download