Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 19 SEPTEMBER 2021 : Bandaraya Kuantan telah bersiap sedia untuk menerima kunjungan pelancong dari seluruh negeri Pahang apabila beberapa lokasi telah mencapai imuniti kelompok sekali gus mewujudkan gelombang pelancongan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Husin berkata, para pengusaha atau peniaga dapat mengambil peluang ini untuk meningkatkan ekonomi masing-masing setelah hampir dua tahun selepas sektor pelancongan ditutup.
“Saya berharap para pengusaha atau orang perseorangan dapat memberi tumpuan atau menyahut peluang ini untuk sama-sama meningkatkan ekonomi masing-masing.
“Kita tahu dalam tempoh PKP banyak yang hilang punca pencarian, jadi dengan kebenaran lebih banyak sektor beroperasi semula, saya harap dapat memberi manfaat kepada semua mereka yang terjejas terutamanya di sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), selepas Program Hari Kebersihan Negara 2021 (World Clean Up Day) Majlis Bandaraya Kuantan di Esplanade Tanjung Api, Kuantan.
Dalam pada itu, YH Dato’ Hamdan berkata, pihaknya turut membantu 10,000 pengusaha perniagaan, peniaga dan penjaja pasar malam di daerah Kuantan untuk mendaftar dan menerima vaksin bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan secepat mungkin.
“Kita juga mempunyai SOP yang amat ketat untuk memastikan penjaja-penjaja kita berada dalam keadaan sihat dan sentiasa dilindungi daripada sebarang penyakit yang boleh menjejaskan pelanggan kita,” katanya. – PAHANGMEDIA