YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

173,000 REMAJA DI PAHANG MULA TERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 BERMULA 20 SEPTEMBER INI

KUANTAN, 17 SEPTEMBER 2021: Kira-kira 173,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pahang akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin berkaitan COVID-19 pada 20 September ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keutamaan ialah kepada remaja berusia 16 hingga 17 tahun serta yang berusia 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan.

Beliau berkata, turut menjadi keutamaan ialah remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dari institusi-institusi pemulihan dan perlindungan, serta remaja golongan rentan termasuk gelandangan.

Menurut beliau, selain remaja dalam kalangan pelajar dari sekolah-sekolah menengah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), turut terlibat ialah dari sekolah-sekolah menengah agama negeri kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan institusi-institusi pendidikan kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Kesemua mereka akan menerima suntikan masing-masing di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan, di bawah penyelarasan Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pejabat-pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau juga berkata, sepertimana disyaratkan, remaja-remaja ini perlu mengisi borang kebenaran ibu bapa atau penjaga, sebelum dibenarkan menerima suntikan.

“Kepada bakal penerima suntikan serta ibu bapa atau penjaga terlibat, saya berharap dapat berikan kerjasama sebaik-baiknya demi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan kita, yang boleh membantu menangani penularan wabak COVID-19 ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download