Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 16 SEPTEMBER 2021 : Kerja-kerja pembinaan menara baru dan naiktaraf menara telekomunikasi sedia ada menggembirakan penduduk di Kampung Serambi di sini.

Bagi penduduk kampung yang juga Ketua UMNO cawangan Kampung Serambi, Encik Aminuddin Mohd Arssad, 54, berkata, projek infrastruktur komunikasi di bawah inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) hasil usaha Kerajaan Negeri dan SKMM amat dihargai.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar dan Ahli Dewan Negeri Bebar di mana saya mendapat tahu sistem telekomunikasi di sini sedang dinaiktaraf untuk memberi kemudahan penduduk di sekitar sini
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dan YB khususnya terhadap kepentingan rakyat terutamanya di kawasan Bebar ini,” katanya.

Bagi Puan Norashikin Abdul Rahman 49, usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri ini dapat memberi kemudahan terbaik kepada mereka yang tinggal di luar bandar.
“Syukur alhamdulillah sebab liputan internet di sini dinaiktaraf..sebelum ini (liputan) memang kurang memuaskan, ada 2G ke 3G sahaja.
“Terima kasih Menteri Besar dan YB Fakhruddin sebab sudi beri perhatian kepada keperluan liputan internet yang lebih laju di kawasan kampung,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Encik Mohd Asrul Amri, 31, menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana kampungnya turut menerima liputan internet jalur lebar berkelajuan tinggi (4G).
“Terima kasih MB dan YB Fakhruddin kerana mengusahakan kemudahan internet berkelajuan tinggi untuk kami di sini.
“Sudah pastu ia memudahkan urusan kehidupan sekalian apatah lagi kita kini banyak berurusan menggunakan internet berbanding bersemuka kerana bimbang dengan penularan COVID-19,” katanya. – PAHANGMEDIA