Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 13 SEPTEMBER 2021 : Pencapaian cemerlang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, adik Maryam Muzamir pada pertandingan inovasi dan rekacipta di peringkat antarabangsa berjaya mengharumkan nama negara dan juga Negeri Pahang, khususnya.
Pelajar pintar ini menjadi pemenang termuda yang memenangi tiga anugerah utama sekaligus iaitu pingat emas, Anugerah Istimewa Kanada dan Anugerah Istimewa Inventor Muda Terbaik sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 yang diadakan di Toronto, Canada.
iCAN 2021 merupakan pertandingan inovasi dan rekacipta terbesar di benua Amerika Utara di mana pertandingan berkenaan diadakan secara atas talian pada 28 Ogos lalu berikutan faktor pandemik COVID-19 dan telah disertai lebih 600 peserta dari 70 negara.

Bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hassan berkata, pada pertandingan itu Maryam mempertaruhkan produk makanan haiwan ternakan berasaskan bahan buangan iaitu kulit udang dan kulit siput sedut ciptaannya.
“Bermula dengan pemerhatian di restoran makanan laut yang kami kunjungi, Maryam melihat begitu banyak sampah yang dihasilkan dari restoran-restoran tersebut, khususnya jumlah cengkerang yang dibuang.
“Hasil bacaannya di sebuah artikel yang mengatakan bahawa kerang makanan laut mengandung sebatian kitin dan manfaatnya terhadap ternakan memberi idea kepadanya untuk mula mencipta produk berkenaan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Bercerita lanjut mengenai anak sulung daripada dua beradik itu, Muzamir bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang (UMP), berkata kebolehan dan keistimewaan anaknya dalam bidang inovasi dan rekacipta dapat dilihat seawal usia empat ke lima tahun.
Katanya, Maryam tidak mewarisi kemahirannya di dalam kejuruteraan awam namun gadis kecil itu dianugerahi Allah SWT kebolehan untuk merekacipta sesuatu melalui pengamatan dan kelebihan di sekelilingnya.
“Saya dan isteri, Noor Nazihah Ma’amor, 35, suka belikan mainan Lego ketika dia mula berusia empat tahun, dari situ kami boleh nampak Maryam mempunyai potensi tinggi apabila dia boleh menghasilkan rekaan lego yang bukan hanya mengikut contoh yang diberikan pada mainan tersebut.
“Maryam anak yang pendiam namun saya dan isteri nampak kebolehannya dan ia terus dikembangkan ketika di sekolah melalui subjek Sains. Kemampuannya turut mendapat perhatian dan sokongan sewarnya daripada guru dan pihak sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata anaknya telah mula mencipta kejayaan sejak di tahun empat di mana dia telah memenangi tiga emas dalam pertandingan inovasi dan rekacipta di peringkat kebangsaan.
“Sejak itu dia mula membawa cabaran bersaing dengan pelbagai peringkat usia dan kehebatan termasuk profesor-profesor dari universiti-universiti terkemuka di dunia.
“Maryam terus berjaya membuktikan kemampuan dirinya dengan meraih emas dan tempat terbaik dalam setiap setiap pertandingan yang dimiliki. Kami akan terus memberi dorongan dan semangat untuk dia mencipta kejayaan dan mengejar cita-cita untuk menjadi profesor dalam bidang STEM,” katanya. -PAHANGMEDIA